Free blog ping

Saturday 12 May 2012

Lempeng kasih suami...


Bila my hubby keluarkan bakat terpendamnya.. Kitty memang sangat-sangat suka sebabnya boleh cuti masak! hehehe..
Sarapan pagi - lempeng kelapa dan sambal sardin

Otak masih berfikir apa yang ingin dibuat hari ini. Sarapan pun belum disediakan lagi. Nak makan apa agaknya? Semalam dah buat puding roti. Sebelum tu sarapan roti nan. Sebelum tu lagi nasi goreng, roti pita, roti telur... roti, roti, roti...Roti oh roti... Minggu ni memang minggu roti...

Di dapur, bunyi ketung ketang ketung ketang sudip berlaga dengan kuali. Ini mesti kerja hubby Kitty. Apalah agaknya yang dimasaknya pagi ni? Kitty dah dapat agak menerusi bau harum tepung... Mesti lempeng...(Hubby Kitty bab buat lempeng ni memang pakar. Kalau dia ke dapur waktu pagi... mesti tiga resipi ni - lempeng, cucur bilis ataupun nasi goreng!..)

Kali ini hubby Kitty masak lempeng kelapa. Hmmm... sedap baunya! Dah lama sangat tak makan lempeng kelapa. Selalu makan lempeng tepung aje cicah kari. Pagi ni cicah sambal sardin yang Ika buat semalam. Hubby Kitty cicah gula aje...

Bila bercerita bab makan ni Kitty teringat dekat arwah nenek Kitty sebelah bapa, Tok Kiah. Bersarapan di rumah Tok Kiah macam kenduri. Semua anak-anak dan cucunya akan duduk bersama sama ada untuk makan pagi, makan tengahari atau makan malam. Makan mesti sama-sama.

Untuk sarapan biasanya jenis goreng ataupun rebus. Tak kiralah menu apa pagi tu... lempeng, goreng pisang masak atau goreng pisang muda, nasi goreng, ubi rebus, goreng ubi, pisang rebus... Kalau pisang rebus mesti ada kelapa parut, manis atau masin. Ubi rebus pula sama ada dicicah dengan sambal bilis ataupun makan bersama ikan masin. Memang sedap sangat!

Yang membuatnya sedap sebab ada pencicah atau sambal. Ikan bilis akan ditumbuk bersama bawang merah, belacan dan cili padi kemudian ditumis. Tambah air asam, garam dan gula sikit. Memang cukup rasa tapi pedas...  Bila makan mesti meleleh-leleh air hidung Kitty tapi Kitty tetap tak tak boleh nak berhenti...

Dapat bersama seperti ini, selalunya selepas kenduri. Semua anak-cucu Tok Kiah dan Tok Ali akan balik berkumpul sehari-dua sebelum balik semula ke rumah masing-masing.

Kerja Kitty pagi-pagi, kait bunga cempaka yang kembang pagi. Kami (sepupu-sepupu) akan berlumba untuk dapatkan siapa yang paling banyak. Bunga itu akan diserah pada Tok Kiah yang akan diletakkan di dalam bilik tidurnya.

Kitty suka masuk bilik tidur Tok Kiah dan Tok Ali. Sudahlah semerbak harum bunga cempaka, cantik pula tu! Bilik Tok Kiah macam bilik pengantin! Kelambunya warna pink dengan ropol-ropol. Katilnya, jenis besi bertiang tinggi. Tidak ada siapapun yang dibenarkan masuk, apalagi melompat-lompat di atas katil!

Kamar tidur Tok Kiah dan Tok Ali adalah bilik larangan. Pintunya selalu tertutup. Kitty suka curi-curi masuk. Sekejap-sekejap, tak boleh lama-lama. Dan lagi, barang-barangnya tak boleh diusik.. Kalau usik, Tok Kiah mesti tahu...

Seingat Kitty, Tok Kiah dan Tok Ali sangat loving. Ke mana-mana mesti berdua naik vespa. Tok Kiah akan pakai cantik-cantik, lengkap bersanggul dan berkebaya pendek. Tok Ali pula, kemas dan segak. Pasangan yang sangat mesra.

Kitty masih kecil (ketika tulah... sekarang dah besar gedabak!...) dapat rasa Tok Kiah memang amat memanjakan Tok Ali. Makan-minum, pakaian dan penampilan, semuanya dijaga rapi. Kehadiran anak-anak menjadi pelengkap dan membuat hubungan mereka semakin erat.

Itulah kisah cinta Tok Kiah dan Tok Ali. Cinta orang dulu-dulu yang masih berbekas di hati Kitty...
Kalau Suka LIKE le..

1 comment:

  1. Org dulu2 mmg sgt jaga tmpt tidurnya... Nk masuk mesti dpt kebenaran.. Ada adab2 masuk kamar tidur ibu ayah..

    ReplyDelete

Menarik di PING BUSUK

Free blog ping