Free blog ping

Tuesday 15 May 2012

Waktu kecil...



Suara anak bongsu Kitty membangunkan Kitty daripada tidur. Ahh.. rupanya jam 4.30 pagi. Masih awal lagi. Kitty cuba melelapkan mata semula. Setengah jam kemudian terbangun lagi apabila kedengaran bunyi azan (belum lagi masuk waktu Subuh. Muazin tempat Kitty selalu melaungkan azan sejam lebih awal. Alhamdulillah... selamat datang hari baru!...)

Memang sebelum tidur malam tadi, Kitty sudah setkan minda untuk bangun lebih awal daripada biasa. Kitty suka sekali menulis ataupun mengisi borang (begitulah apabila bekerja sendiri... nak ambil kerani tak mampu lagi...hahaha..) waktu awal pagi. Suasana senyap sunyi. Fikiran rasa tenang dan damai. Barulah tulisan cantik dan tiada kesilapan. Kitty memang elakkan mengisi borang waktu fikiran tengah kacau. Waktu itu, mesti banyak yang salah.. Padahnya, kena reject.. So, kena pastikan, it has to be correct at anytime...

Teringat masa kecil-kecil dulu. Jam 5 pagi memang sudah kena bangun untuk bersiap ke sekolah. Tak kiralah bagaimana keadaan cuacanya pagi tu.. biarpun sejuk selepas hujan, mesti kena mandi dan gosok gigi. Kitty selalu sediakan sebaldi air atas rumah. Kalau tidak kena turun mandi di kolam hadapan rumah. Kitty memang tak suka mandi kolam waktu subuh sebabnya dekat dalam kolam tu selalu ada ular air berenang-renang. Memanglah tak bahaya tapi takut dan geli.... eeeee....

Mandi kolam hanya bertemankan lampu pelita yang hidup terkedip-kedip. Bila angin bertiup kuat, padam. Masa ni yang buat Kitty gelabah. Jalan-jalan dalam gelap bukan nampak apa benda. Sebabnya ada satu lagi binatang yang Kitty amat-amat tak boleh nak tengok rupa parasnya... Sikatak. Kitty masih terasa-rasa lagi katak yang penyet Kitty pijak.. kesian katak tu... agaknya dah jadi arwah masa tu...hehehe..

Rasanya kampung Kitty yang paling lambat dapat bekalan air paip sebab dipisahkan oleh sungai... syok aje tengok rumah kawan-kawan seberang sungai yang ada air paip dan letrik. Kitty masih lagi gunakan air perigi dan air hujan untuk minum. Untuk bekalan letrik Tok Kimin ada generator tapi hanya setakat jam 10 malam saja. Tidur, gunakan lampu pelita minyak tanah..

Masa sekolah rendah Kitty memang suka membaca. Setiap hari Kitty akan pinjam satu buku cerita di perpustakaan sekolah. Kitty suka baca kisah-kisah dongeng yang akhirnya mesti tulis... the prince and the princess live happily ever after.., siri Enid Blyton (betul ke nama tu?), siri detektif Harry...., novel kanak-kanak dan juga komik-komik. Setiap hari Kitty akan pinjam sebuah buku dari perpustakaan. Hari-hari macam tu....

Kitty akan bawa masuk pelita dalam kelambu untuk baca sampai habis. Peringatan: membaca dalam kelambu menggunakan pelita minyak tanah amat membahayakan. Anda mungkin terbakar apabila terlelap. Syukur, keadaan itu tidak pernah berlaku pada Kitty. Sebelum tidur Kitty akan keluarkan pelita dan letaknya jauh sedikit dari kelambu.

Kenapa tidur nak pakai kelambu? Mestilah kena pakai. Nyamuk banyak... mana boleh tahan tidur kena gigit nyamuk! Bunyi ngeng ngeng ngeng nyamuk itu saja dah mengganggu...

Dan satu-satunya yang Kitty tidak boleh lupa, esoknya sebelum pergi sekolah mesti korek lubang hidung dulu.. Setiap pagi itu yang mesti dibuat. Bukannya nak buang tahi hidung tapi nak buang jelaga (asap) pelita! Bayangkan kalau terlupa nak buang dan terus pergi sekolah.. kahkahkah..mesti jadi bahan ketawa.

Yang Kitty paling ingat waktu ini, arwah nenek Kitty Tok Melah akan selalu menemani Kitty membaca. Sekejap-sekejap dia akan datang dan duduk dekat pintu. Menengok keadaan Kitty. Mungkin dia takut Kitty terlelap dan terlupa untuk keluarkan pelita. Kitty dapat rasakan kasih sayangnya yang sentiasa memerhatikan Kitty dari jauh...





Kalau Suka LIKE le..

No comments:

Post a Comment

Menarik di PING BUSUK

Free blog ping