Free blog ping

Saturday 5 May 2012

Dejavu kehidupan...

Bismillahirrahmanirrahim...


Pagi Sabtu. Kat luar mendung. Baru lepas hujan. Cuaca tampak suram namun pada Kitty suram yang indah dan penuh melankolik. Kenapa Kitty kata begitu? Kerana cuaca beginilah masa kecil dulu buat Kitty rasa best. Kitty tak perlu pergi ke kolam seberang ban (kampung Kitty berbentuk ala tanjung dan dikelilingi sungai) untuk basuh kain. (Kalau hujan maknanya tak ada matahari, mana boleh nak sidai kain. Nanti tak kering.)

Masa tu mana ada air paip apalagi nak jumpa mesin basuh. Kitty akan sorong basikal dengan besen besar atas tempat pembonceng. Kruk, krak, kruk, kraklah cuci baju pakai papan kayu. Tak macam sekarang, main tekan-tekan aje dan tinggal...

Basuh baju ada caranya. Baju putih dan berwarna tak boleh direndam bersama, takut ada yang luntur. Anak Kitty kalau basuh baju, semua masuk sekali. Tak hairanlah kalau baju kerja putih abahnya tukar warna pink walaupun sudah pesan berkali-kali! Tak apalah bah.. pink pun warna juga. Cantik apa? Hahaha...

Bila Kitty imbas kembali kini, memang seronok. Tapi masa tu, geram, sakit hati, merungut-rungut  sebab kena buat kerja. Sapu sampah bawah rumah (rumah orang dulu kan bertiang tinggi... harimau pun boleh lalu.. lawak aje...hahaha..), angkat kayu api.. Waktu petang kena angkat air dari kolam untuk penuhkan tempayan atas rumah. Tempayan pula ada tiga, dua untuk cuci pinggan dll, satu lagi untuk minuman dan kegunaan memasak.Masa hari sekolah, setiap hari Kitty kena sediakan satu baldi extra, untuk mandi.. Kalau tak maknanya, mandi main celup-celup sajalah... janji badan kena air.

Antara adik-beradik, rasanya Kitty yang paling nakal. Kitty tak berapa suka mandi pagi, sebab sejuk... (tapi kalau dah basuh kain, kena mandilah juga).Suka main dengan kawan-kawan - main galah panjang, polisentri, berenang di sungai ataupun berkubang dalam parit. Pernah bapa Kitty tercegat di tebing sungai dengan rotan di tangan bila dapat tahu Kitty berenang dengan kawan-kawan. Apalagi, merah lah betis kena sebat!

Setiap pagi kalau tak sekolah kena pergi mengaji. Mengaji bukan tempat lain, rumah emak (masa kecil Kitty dibela atuk). Perangai budak-budak bukannya bagus sangat. Atuk dah suruh pergi mengaji tapi Kitty sengaja pergi lambat-lambat dan terus lari rumah Lek Cik (jiran yang duduk kat tepi ban). Bapa cari! Apalagi kelam-kabut kunci pintu (buat rumah Lek Cik tu macam rumah sendiri pulak...) tak bagi bapa masuk. Punya takut pada bapa, sanggup bergayut kat pinggang Lek Cik... hahaha..

Bila diingatkan apa yang Kitty buat dulu dan apa yang anak-anak Kitty buat sekarang tak jauh bezanya. Dejavu. Dulu Kitty main galah panjang. Sekarang anak Kitty main game Stick (ala game orang lidi  kat internet tu..). Bab mengaji anak Kitty memang tidak boleh lari sebab abah dia orang yang mengajar. Bab buat kerja rumah, memang saling tak tumpah - merungut-rungut, tolak-menolak, suruh-menyuruh, buat kerja lambat-lambat ataupun lari langsung tak buat.

Antara adik-beradik ada yang sebulu dan ada yang tidak sebulu. Kitty paling jealous pada adik perempuan Kitty yang selalu kena puji kerana berada dalam kedudukan tiga teratas. Kitty duduk kelas A juga tapi nombornya banyak! Lagi satu, bapa selalu puji Hawa (kawan sekampung) yang sedap suara dan pandai mengaji. Bila bapa sebut saja kenapa tidak contohi mereka, memang Kitty rasa panas!

Budak-budak bijak ni (Kitty taklah bijak sangat!) selalunya panjang akal dan suka cari pasal. Kitty ada seorang pakcik yang garang macam singa. Buat hal saja, kena pelempang atau tarik telinga. Bila dia buka mulut saja, satu kampung boleh dengar.. Bunyi motor dia (belum lagi sampai rumah..) saja dah gerun. Tak suka! Memang sangat, sangat, sangat tak suka!

Bila dah jadi ibu dan mempunyai kehidupan sendiri baru Kitty sedar. Orang yang Kitty tak suka itulah sebenarnya yang banyak mengajar Kitty erti hidup. Kalau tak ada pakcik Kitty yang garang macam singa itu dan bapa yang tegas, tak tahulah apa jadi pada Kitty. Kitty sangat-sangat bersyukur dengan adanya mereka.

Bila dah besar panjang barulah Kitty tahu. Yang pahit itu sebenarnya ubat paling mujarab. Masa kecil memang kita tak nampak. Kita rasa orang-orang dewasa ini menyusahkan kita saja. Bila dah besar panjang, barulah kita rasa betapa bertuahnya kita kerana orang-orang seperti itu yang mengajar kita erti susah dan buat kita tahu menghargai apabila datangnya senang.

Ini yang selalu Kitty ingatkan pada anak-anak Kitty. Dunia ni bulat dan hidup ini seperti roda. What goes around, comes around. Akan tibanya masa untuk mereka merasai semua itu. Ibu bapa marah bukan kerana mereka tak sayang. Kesilapan anak mesti ditegur dan ibubapa hanya melaksanakan tanggungjawab, amanah dari Allah SWT. Anak-anak perlu sedar apabila ibu bapa menghukum atau memukul mereka, ia ibarat menghukum dan memukul diri sendiri. Melihat anak mereka menangis, hati mereka turut menangis. Pedih dan sakitnya disimpan dalam hati.
Keluarga besar Kitty

Kitty selalu ingatkan anak-anak Kitty: Apa yang mereka buat sembunyi-sembunyi memang Kitty tak nampak tapi ALLAH SWT nampak. Kita akan menghadap ALLAH SWT satu hari nanti. Fikir guna otak jangan ikut hati.

Sebagai peringatan kepada diri Kitty sendiri, masa inilah patut kita hargailah ibu bapa ketika mereka masih ada. Sayangi dan kasihani mereka. Jangan simpan dendam jika nampak mereka seolah-olah tidak adil, melebihkan seorang anak daripada yang lain. Mungkin bukan itu tujuan mereka. Cuba muhasabah diri.

Lihat bagaimana layanan kita dan bagaimana layanan dia? Adakah kita memberikan sepenuh perhatian - ambil berat dengan sering menelefon bertanya khabar, pulang ziarah, duduk berbual-bual, bawa mereka berjalan-jalan, berkunjung rumah saudara-mara ataupun kita buat tak peduli, sibuk dengan hal kita sendiri?

 Kitty sudah mula rasa. Cabaran ibu bapa zaman millenium ini lebih hebat lagi. Tak taulah bagaimana keadaannya masa akan datang. Sejarah biasanya akan berulang. Itulah namanya dejavu kehidupan...
Kalau Suka LIKE le..

No comments:

Post a Comment

Menarik di PING BUSUK

Free blog ping