Free blog ping

Wednesday 26 June 2013

Adat berhutang



Salam sejahtera. Semalam kembali melaksanakan tugas-tugasku setelah beberapa hari 'bercuti'. Sebagaimana biasa apabila bertemu klien: update pelaburannya - buat review bagaimana prestasi pelaburannya, berkongsi perkembangan semasa industri pelaburan dan keperluan untuk pelaburan baru dan juga berkongsi serba-sedikit perkembangan diri mereka dan keluarga.

Selama tujuh tahun berkecimpung dalam industri kewangan, rata-ratanya berpuas hati dengan tahap perkhidmatan yang diberi. Justeru, tidak menghairankan jika mereka mahu berkongsi cerita, mengenai isteri, anak-anak dan juga apa juga yang berkaitan dengan diri mereka. Mungkin sebab sudah biasa dan kenal mesra, hubungan kami menjadi rapat dan tidak menghairankan apabila ada pihak yang cuba menawarkan produk berkaitan, mereka akan menelefon dan meminta pandangan dan khidmat nasihat.

Biasanya, apa yang boleh dibantu, aku akan membantu. Serba-sedikit pengetahuan yang dimiliki tidak bermakna dan tidak menjadi amalan yang berpanjangan jika tidak disebar-sebarkan. Namun jika ada yang meminta bantuan - pinjam duit-ringgit, aku tidaklah seperti dulu-dulu. Dulu-dulu, aku tidak boleh tengok orang susah, aku cepat sangat jatuh kasihan. Apalagi untuk menolaknya sehinggakan adakalanya sikap lembut hatiku itu menyusahkan diriku sendiri. Aku akan cuba apa jua cara untuk membantu walaupun terpaksa mengeringkan kocek. Dan yang paling sedihnya, setelah dibantu mereka buat tidak tahu saja.

Teringat aku ketika masih belajar di IPTA dulu. Duit pinjaman Felda (aku anak Felda ye..) masih lagi berbaki dua-tiga ratus ringgit sebagai persediaan untuk masuk semester baru. Mungkin memikirkan aku ada duit, seorang hamba Allah ini datang merayu-rayu meminta dipinjamkan wang dan akan dibayar semula setelah dia mendapat gaji. Malangnya setelah dapat gaji, dia buat tidak tahu saja dan aku pula yang terpaksa merayu-rayu meminta dikembalikan semula wangku kerana pengajianku akan bermula.

Menuntut wang sendiri, rasanya bagaikan meminta sedekah... Pelbagai alasan diberi dan aku terpaksa menunggu dan menunggu..

Belajar daripada pengalaman, sejak itu aku menetapkan satu garis panduan. Jika ada yang ingin meminjam, aku akan membantu mengikut kemampuan. Aku akan fikirkan terlebih dulu sama ada pertolongan itu nanti akan menyusahkan diri aku sendiri atau tidak. Sebagai contoh, jika jumlah yang ingin dipinjamnya itu agak besar (sedangkan itu adalah duit bagi keperluan kecemasan keluarga aku), patutkah aku memberinya penuh (sebanyak mana yang diminta) ataupun sebahagiannya saja? Bagaimana kalau dia tidak membayar, lupa atau tiada kemampuan untuk membayar? Sanggupkah aku menunggu sehingga dia melangsaikan segala hutang-piutangnya walaupun memakan masa bertahun-tahun? Ataupun sanggupkah aku menghalalkannya begitu saja tanpa prasangka, dendam ataupun perasaan kecil hati?

Tolong-menolong, bantu-membantu adalah sifat yang dipuji Allah swt. Apabila berbuat baik, pahala ganjarannya. Namun apabila pertolongan itu menyebabkan seseorang bermasam muka dan tidak mahu bertegur sapa, bukan pahala yang dapat tetapi bala kerana menyebabkan perpecahan dan putusnya hubungan silaturahim.

Bagaimana caranya untuk menarik rambut dalam tepung - rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak?

Justeru, untuk mengelakkan daripada timbulnya perkara begini di kemudian hari, aku biasanya akan mengambil tindakan mudah. Aku akan memberi dalam jumlah yang sekiranya dia tidak ingat untuk membayar, aku halalkan dengan senang hati. Tolong, aku mesti akan tolong kerana aku beranggapan apabila ada orang yang meminta bantuan, Allah swt sedang membuka ruang dan peluang untuk aku mengumpul saham akhirat.

Dan aku juga tidak mahu hutang itu menjadi bebanan di akhirat nanti apabila aku terpaksa menunggu orang yang berhutang dengan aku sebelum aku dibenarkan masuk ke syurga (Ya Alllah...tempatkanlah aku, keluargaku, ibubapaku, guru-guruku, adik-beradikku, ipar-duaiku dan saudara-saudara, sahabat-handai dan saudara seIslamku di dalam syurga-syurgaMu.. Amin).

Sabda Rasulullah SAW: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim, 6/38).

Dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Baginda kerap mengajar umat Islam supaya berdoa dilepaskan daripada hutang: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu baginda ditanya: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhar, 1/214).

Dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 'Tahukah kamu siapakah dia orang Muflis?" Sahabat-sahabat Baginda menjawab: "Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda." Nabi SAW bersabda: "Sebenarnya orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamum orang ini dan menuduh orang itu memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang orang, makan akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu, kemudian kiranya habis amal kebaikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakan serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam Neraka."

Tertarik pada tulisan Abdul Muhaimin Mahmood pinjam-meminjam sudah dianggap perkara biasa. Ada yang meminjam untuk bermewah-mewah tetapi ada yang juga meminjam atas desakan keperluan.  Berapa banyak penjawat awam yang muflis kerana berhutang dan juga golongan muda lingkungan 30 -40an yang muflis kerana kad kredit.

Berbalik kepada klienku tadi, katanya dalam tempoh empat tahun ini dia terpaksa mengekang perbelanjaan gara-gara hutang kad kredit. Untuk menyelesaikan masalahnya itu, dia meminta bantuan AKPK dan kini dia terikat dengan jadual pembayaran yang ketat. Dalam tempoh itu, dia tidak boleh membuat pinjaman baru sehingga segala semua hutang-piutangnya selesai.
Kalau Suka LIKE le..

1 comment:

Menarik di PING BUSUK

Free blog ping