Free blog ping

Friday 21 June 2013

Meminjam waktu

Wajah mirip dramatis tv itu direnungnya dengan tajam. Geram sungguh hatinya. Menyusahkan. Betul-betul menyusahkan. Tidak cukupkah dokumen yang dibawanya ini? Tidak cukupkah sijil pembahagian faraid daripada Mahkamah Syariah bagi membuat tuntutan pelaburan abangnya di Institusi Pelaburan Ini? Sijil pembahagian faraid ini sudah digunakan untuk mengeluarkan wang KWSP arwah abangnya. Tak ada masaalah pun. Sijil ini juga telah digunakan bagi menuntut insurans arwah di syarikat tempatnya bekerja. Tak ada masalah pun. Jadi apa masalahnya di sini?

Panas. Hatinya memang panas. Bukan saja dia terpaksa mengorbankan cutinya hari ini bagi menguruskan urusan arwah abangnya, malah dia berdepan pula dengan prosedur-prosedur yang dianggapnya remeh dan tidak masuk akal.

"Bukan ke semua harta pusaka perlu difaraidkan dan sijil faraid itu saya dah dapat daripada Mahkamah Syariah? Apa pasal surat kuasa faraid ini tidak boleh diterima pakai? KWSP, agensi yang besar itupun boleh terima, kenapa di sini tak boleh terima?" soalnya bertubi-tubi.

Hatinya betul-betul panas. Apa dia tidak tahu ke bagaimana susahnya untuk mendapat sijil faraid daripada Mahkamah Syariah? Dia perlu buat permohonan, naik-turun, naik turun Mahkamah beberapa kali dan terpaksa menunggu berbulan-bulan. Sekarang dia kena lalui proses yang sama semula? Biar betul?

Patutkah dia marah pada abangnya? Kenapa abangnya tidak mahu membuat persediaan sebelum mati dan sekarang terpaksa menyusahnya dan keluarga?

"Tolonglah Encik..." suaranya kendur, merayu. "Saya datang dari jauh ni... Sebelum ni sudah banyak cuti saya habis bagi menguruskan hal ni..."

"Memang saya nak tolong... tapi ini memang prosedurnya. Kena dapatkan suratkuasa atau Letter of Authority (LA) dari mana-mana Pejabat Tanah atau Mahkamah Tinggi. Saya boleh terima tetapi apabila sampai ke pihak atasan, permohonan puan mesti akan ditolak..." pemuda mirip dramatis itu menjawab dengan lembut.

Dia menoleh pada ibu dan bapa serta adiknya yang turut bersama. "Kita nak buat macam mana ni? Macam mana abah? Saya tak tahu mana-mana pejabat tanah...."suaranya mula lemah. Sudah ditetapkan peraturannya begitu. Mahu atau tidak mahu, masih tetap perlu diikut.

Memang hatinya terasa hampa. Sebelum ke sini, dia sudah membayangkan urusan peninggalan arwah abangnya dapat diselesaikan dengan segera. Dengan wang yang ada itu, dapatlah dia melunaskan segala hutang-piutang abangnya - hutang kereta, rumah, kad kredit. Hanya sekadar itu yang dia tahu. Bagaimana pula dengan hutang-piutang lain? Hutang dengan kawan-kawan ataupun hutang kawan-kawan yang meminjam daripadanya?

Bagaimana pula dengan hutang ibadahnya kepada Allah SWT - hutang solat dan juga puasanya? Bagaimana pula dengan hutang zakatnya - zakat pendapatan, simpanan yang cukup haul ataupun zakat pelaburan emasnya?

Apakah lagi hak-haknya ketika hidup yang masih belum dilunaskan? Dan bagaimana harta pusakanya dapat membantu meringankan bebanannya di alam kubur? Masya Allah... banyaknya perkara yang perlu difikirkan bagi pihaknya, hatinya berbisik.

Sebagai pentadbir harta abangnya, banyak perkara yang perlu dilaksanak. Dalam harta pusaka itu ada hak bagi urusan pengebumian, membayar segala hutang-piutang sama ada hutang dengan manusia mahupun hutang dengan Allah SWT (zakat, puasa dsb), menginfakkan atau mewakafkan sebahagian harta atas nama abangnya sebagai sedekah jariah agar pahala daripada amalan itu dapat dinikmati abangnya berterusan.

Nasib juga abangnya belum beristeri. Jika tidak perlu diselesaikan dulu urusan harta sepencarian dan akhir sekali baru boleh difaraidkan. Namun sebelum itu, pernahkah abangnya berwasiat ataupun menyuarakan apa-apa hasrat bagi tujuan kebajikan?

Dia faham. Selagi segala harta dan hasrat arwah abangnya tidak dilaksanakan, pasti rohnya tidak dapat bersemadi dengan aman. Bagaimanalah agaknya keadaan mereka yang meninggalkan harta berjuta-juta dan berebut-rebut pula adik-beradik? Tentunya sangat azab. Sekalipun sudah mati, urusan di dunia masih lagi belum selesai. Jika begitu keadaannya harta bukannya menjadi rahmat, saham yang dapat diraih di akhirat tetapi musibah dan sebagai natijahnya azab yang sangat pedih bagi si mati.

Tak sanggup rasanya dia memikirkan semua itu. Bagaimanalah agaknya keadaan abangnya di alam sana? Adakah rohnya tenang dan aman ataupun dihimpit kekalutan? Ya Allah... bantulah dia, terangi kuburnya dan ringankan penderitaan.. doanya berterusan.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad saw bersabda: "Apabila seorang anak Adam itu mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak soleh yang mendoakannya. (Hadis Sahih - Riwayat Muslim)

Malangnya, abangnya belum sempat beristeri. Ketika hidupnya tiada ura-urapun keinginannya untuk beristeri sekalipun usianya sudah mencecah 40 tahun. Tiada zuriat yang ditinggalkan dan terputuslah harapanannya untuk mendapat doa daripada anak yang soleh... Yang ada hanya dia, adik-beradiknya dan kedua-dua ibubapanya.

Seperkara yang boleh membantunya - harta-hartanya. Arwah abangnya masih boleh bergantung harap sekiranya selaku pentadbir dia dapat melaksanakan amanahnya dengan baik. Dia tidak mahu harta itu menjadi beban pada abangnya. Biarlah harta yang ditinggalkan itu dapat meringankan tanggungannya, dapat menerangi kuburnya dan dapat melindunginya daripada azab yang pedih.

"Saya cadangkan puan dapatkan LA tu dulu dan selepas tu kembali semula ke sini..." suara pemuda berwajah manis itu mengembalikannya ke alam realiti.

"Saya faham apa yang puan lalui kerana sayapun pernah lalui perkara yang sama..." Segala dokumen yang diberikan padanya dikembalikan.

"Jom abah, kita cari pejabat tanah. Elok kita uruskan perkara ni segera..."suaranya kedengaran sayu. Ada rasa sebak di situ. Dia sedar selagi urusan duniawi abangnya itu tidak dapat diselesaikan dengan segera, selagi itulah roh abangnya tidak dapat bersemadi dengan aman.

MATI itu satu kepastian. Adakah kita sudah bersedia menghadapinya ataupun kita masih ingin meminjam waktu daripada Yang Maha Esa?


Kalau Suka LIKE le..

No comments:

Post a Comment

Menarik di PING BUSUK

Free blog ping