Free blog ping

Thursday 20 June 2013

Apa jadi apabila tiada wasiat atau penama?


Wang tunai yang perlu dituntut si waris.

Salam sejahtera. Hari ini aku ke ibu pejabat bagi membantu menguruskan tuntutan pindah milik pelaburan seorang pelabur ku yang sudah meninggal dunia. Hanya hari ini saja aku dapat berkenalan dengan warisnya - ibu, ayah dan juga adik perempuan dan adik lelakinya. Sebelumnya kami hanya berhubungan melalui telefon saja. Itu pun setelah adik lelakinya menemui kad namaku dalam dompet klienku.

Klienku ini adalah juga rakan sekerja di tempat kerja lama. Aku berkenalan dengannya ketika kami sama-sama di meja hiburan dan selepas berhenti kami masih berhubungan kerana dia meletakkan sepenuh kepercayaan padaku untuk menjaga akaun pelaburan EPFnya.

Berusia lingkungan 40an, dia masih bujang. Orangnya sangat kreatif dan banyak menghasilkan skrip-skrip filem untuk syarikat-syarikat filem tempatan. Aku memang angkat tabik padanya kerana dalam kesibukan memenuhi tuntutan kerja dan dateline, dia masih mampu menghasilkan idea-idea kreatif untuk digarap dalam industri perfileman tempatan. Namun garapannya tidak lama dapat dinikmati peminat seni apabila dia meninggal dunia pada tahun 2012 akibat kanser usus.

Sepanjang menjadi klienku, dia seorang yang sangat 'obedient'. Pelaburan EPF dibuat berterusan pada tempoh pengeluaran yang ditetapkan. Hasil daripada tindakannya itu, keuntungan yang didapatinya amat memberangsangkan dengan purata keuntungan tahunan hampir 12 peratus setahun. Daripada jumlah terkumpul keseluruhan lebih RM98,000 (diambil berperingkat-peringkat setiap 3 bulan selama 5 tahun daripada EPF) kini jumlah itu sudah berkembang menjadi lebih RM165,000.

Cuma yang aku agak terkilan kerana ketika hayatnya ketika aku sarankan untuk dia meletak penama bagi pelaburannya, perkara itu tidak begitu diberatkan. Aku faham dengan kesibukannya tetapi manusia mana yang tidak sibuk.Jika tidak diperuntukkan masa ataupun dicarikan waktu, memang sampai bila-bilapun kesibukan itu akan membelenggu.

Dua minggu sebelum PRU13, adik lelakinya menghubungi aku bagi membantu menguruskan pindahan pelaburan abangnya. Disebabkan tiada penama, aku jelaskan padanya dokumen yang perlu dibawanya iaitu:
a. Letter of Authority - LA (surat kuasa pentadbir dari Pejabat Tanah ataupun Mahkamah Tinggi)
b. Surat mati
c. Kad pengenalan simati
d. Kad pengenalan pentadbir.

Ketika bertemu dengan warisnya hanya surat kuasa daripada Mahkamah Syariah saja bagi tujuan faraid bersama dokumen-dokumen lain saja yang ada. LA tidak disertakan malah warisnya merasakan LA tidak perlu kerana mereka sudah mendapat surat kuasa daripada Mahkamah Syariah.
Alasannya sebagai Muslim, harta-harta hanya perlu difaraidkan mengikut cara Islam. Jadi surat kuasa untuk memfaraidkan daripada Mahkamah Syariah sudah memadai.

Aku tidaklah pandai sangat dalam bidang undang-undang. Yang aku tahupun hanya setakat daripada pembacaan, pengalaman dan juga perbincangan dengan rakan-rakan. Setahu aku (jika salah tolong betulkan ye..) apabila seseorang itu meninggal, harta bendanya berada dalam dua lingkungan kuasa iaitu mahkamah sivil dan juga mahkamah syariah.

Apabila seseorang itu meninggal perkara pertama yang perlu dilakukan warisnya adalah untuk melantik pentadbir. Permohonan untuk melantik pentadbir ini boleh dibuat di Pejabat Tanah ataupun Mahkamah Tinggi bergantung kepada berapa banyak harta yang ditinggalkan simati. Jika nilai hartanya kurang daripada RM2 juta memadai permohonan untuk mendapatkan LA itu dibuat dipejabat Tanah. Untuk maklumat terperinci boleh klik pada Panduan Permohonan Tuntutan Pembahagian Harta Pusaka Kecil di SINI.

Hanya setelah pentadbir dilantik dan semua aset itu dipindahkan ke atas namanya barulah boleh diagihkan mengikut faraid ataupun sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh simati.

Dalam kes klien aku ini, dia tidak pula membuat sebarang wasiat ataupun meletakkan penama bagi pelaburannya. Jika diletakkan penama, segala urusan pindah milik pelaburannya boleh dibuat dengan mudah. Dalam tempoh 30 hari penyerahan dokumen, wang simati boleh diserahkan kepada pihak-pihak berkenaan. Prosedur pindahannya menjadi amat senang, cepat dan lancar.

Namun tidak semua orang yang menyedari kepentingan membuat wasiat ataupun penama bagi simpanan.  Apabila berlaku kematian, ketika itulah siwaris perlu bersusah-payah untuk menguruskan semua yang berkaitan harta simati. Waris bukan saja mewarisi harta-hartanya malah hutang-piutangnya juga. Jika hutang-piutang itu tidak disenaraikan ataupun tidak diketahui sesiapa, bagaimana dapat ia dilunaskan sedangkan amalan anak Adam itu tergantung-gantung selagi hutang-piutangnya tidak dijelaskan?

Mati walaupun hakikatnya satu kepastian bukanlah isu yang digemari kerana kebanyakannya (termasuk aku sendiri) memikirkan kita akan hidup bertahun-tahun lagi. Jika tidak dibuat hari ini, esok masih ada. Tetapi adakah kita pasti esok masih ada untuk kita?

Tidak menghairankan ketika diadakan penulisan wasiat baru-baru (diberikan percuma kepada klien-klienku) hanya beberapa kerat saja yang hadir. Ramai yang menganggapnya tidak penting. Mungkin apabila sudah berdepan dengan kesulitan untuk menguruskannya baru timbul kesedaran pentingnya wasiat dan juga penama ini?

Berbalik kepada waris klien aku tadi, dia terpaksa membuat permohonan semula untuk mendapatkan suratkuasa pentadbir. Harta yang ada perlu dituntut, Jika tidak jumlahnya akan bertambah. Sehingga kini mengikut pengetahuanku sejumlah RM52billion harta (alih dan tak alih) yang tidak dituntut kerana tiada pentadbirnya. Ruginya harta sebanyak itu dibiarkan begitu saja... tidak boleh nak dimajukan dan tidak juga boleh diagih-agihkan...

Saban tahun jumlahnya semakin meningkat. Dan sekiranya tiada kesedaran masyarakat bahawa wasiat atau penama itu adalah salah satu persediaan kita sebelum mati, jumlah itu akan terus bertambah dan waris-waris kita akan terus berdepan dengan pelbagai kesulitan ekoran ketidak bertanggungjawaban kita ke atas harta benda kita sendiri..

p/s: untuk suatu tempoh terhad pihak kami (aku dan beberapa rakan lain) ada menjalankan bengkel penulisan wasiat percuma. sekiranya ada yang berminat boleh menghubungiku ataupun menghantar sms ke talian 013-3311981.
Kalau Suka LIKE le..

No comments:

Post a Comment

Menarik di PING BUSUK

Free blog ping