Free blog ping

Saturday 29 June 2013

Indahnya al-Quran

pix from en google

Salam sejahtera. Pagi ini, subuh-subuh lagi Kitty sudah terbangun. Terasa tenang sungguh tidur malam tadi setelah diurut anak perempuan Kitty dengan krim Auralife (bukan nak promosi tetapi krim tu Kitty jumpa dalam bilik anak lelaki Kitty - mungkin ada orang yang hadiahkan padanya lengkap dengan kopi dan minyak wangi sekali. Cuma kopinya belum lagi Kitty cuba...)

Sengaja Kitty ingin mengingatkan diri Kitty yang cetek ilmu ini. Kitty ingin berkongsi maksud beberapa ayat surah FUSSILAT, ayat 9 - 13 hakikat penciptaan alam ini.

9. Katakanlah, 'Pantaskah kamu ingkar kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa dan kamu adakan pula sekutu-sekutu bagi-Nya? Itulah Tuhan seluruh alam.'

10. Dan Dia ciptakan padanya gunung-gunung yang kukuh di atasnya. Dan kemudian Dia berkahi dan Dia tentukan makanan-makanan (bagi penghuninya) dalam empat masa, memadai untuk memenuhi kebutuhan) mereka yang memerlukannya.

11. Kemudian Dia menuju ke langit dan (langit) itu masih berupa asap, lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi, "Datanglah kamu berdua menurut perintah-Ku dengan patuh atau terpaksa." Kedua-duanya menjawab, "Kami datang dengan patuh."

12. Lalu diciptakan-Nya tujuh langit dalam dua masa dan pada setiap langit Dia mewahyukan urusan masing-masing. Kemudian langit yang dekat (dengan bumi), Kami hiasi dengan bintang-bintang, dan (Kami ciptakan itu) untuk memelihara. Demikian ketentuan (Allah) Yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui.

13. Jika mereka berpaling maka katakanlah, "Aku telah memperingkatkan kamu akan (bencana) petir seperti petir yang menimpa kaum 'Ad dan kaum 'Samud."

Maha Suci Allah...


Kalau Suka LIKE le..

Friday 28 June 2013

Antara sembahyang awal waktu dan jamuan sekolah..

Salam sejahtera.

Anak bongsu Kitty bertanya: "Ma, kenapa perlu bersembahyang di awal waktu? Kan setiap waktu sembahyang itu panjang? Terpulanglah pada seseorang itu untuk memilih sama ada hendak bersembahyang di awal waktu ataupun di hujung waktu. Tapi kenapa abah dan ma selalu suruh sembahyang di awal waktu?

Kitty menarik nafas dalam-dalam. Bagaimana caranya untuk menjawab secara mudah dan santai, senang difaham. Bercakap mengenai pahala dan dosa, sesuatu yang tidak nampak di dunia. Lantas otak ligat berfikir, mencari analogi yang mudah difahami dan terkesan di hati.

Kittypun bertanya: "Kelas Farhat selalu adakan jamuankan?"

Dia menganggukkan kepalanya dan menjawab: "Jamuan Hari Raya, hari guru, hujung tahun sebelum cuti sekolah..."

"Selalunya kena datang waktu bila? Ikut waktu masuk sekolah, masa nak rehat ataupun waktu nak balik sekolah?

"Ikut waktu masuk sekolahlah ma...  Mana boleh datang ikut suka..."

"Kenapa tak boleh?"

"Kalau lambat nanti cikgu marah. Itukan masa sekolah. Lagipun kalau datang lambat nanti semua makanan dah habis kena makan. Yang tinggal saki-baki saja. Yang sedap-sedap mesti kawan-kawan sudah ambil dulu. Yang tinggal mesti tak berapa best..."

"Begitu jugalah dengan sembahyang di awal waktu. Itukan peraturan yang ditetapkan Allah SWT. Jika dilambat-lambatkan, kan Allah tak suka. Pahalanya memang tak nampak tapi Allah SWT sediakan pahala yang best-best untuk orang yang sembahyang awal waktu. Macam-macam ganjaran Dia bagi macam orang yang datang awal semasa jamuan. Macam-macam makanan ada. Boleh pilih yang mana suka.

"Tapi bagi orang yang datang lewat, sudahlah makanannya tinggal sisa-sisa saja. Kadang-kadang tak ada langsung sebab sudah habis dimakan oleh orang yang datang awal. Kita datang jamuan itu umpama orang yang bersembahyang. Orang sembahyang awal ganjaran pahalanya banyak tetapi orang yang melewat-lewatkan sembahyang ganjaran pahalanya sedikit ataupun mungkin tiada langsung..."

"Jadi siapa yang untung?"

"Mestilah yang awal. Kalau nak datang akhir jamuan, baik datang tahun depan sajalah..." (La ke situ pulak... maknanya nak memontenglah tu... Anak Kitty ni faham ke analogi yang Kitty bagi ni...)




Kalau Suka LIKE le..

Wednesday 26 June 2013

Adat berhutang



Salam sejahtera. Semalam kembali melaksanakan tugas-tugasku setelah beberapa hari 'bercuti'. Sebagaimana biasa apabila bertemu klien: update pelaburannya - buat review bagaimana prestasi pelaburannya, berkongsi perkembangan semasa industri pelaburan dan keperluan untuk pelaburan baru dan juga berkongsi serba-sedikit perkembangan diri mereka dan keluarga.

Selama tujuh tahun berkecimpung dalam industri kewangan, rata-ratanya berpuas hati dengan tahap perkhidmatan yang diberi. Justeru, tidak menghairankan jika mereka mahu berkongsi cerita, mengenai isteri, anak-anak dan juga apa juga yang berkaitan dengan diri mereka. Mungkin sebab sudah biasa dan kenal mesra, hubungan kami menjadi rapat dan tidak menghairankan apabila ada pihak yang cuba menawarkan produk berkaitan, mereka akan menelefon dan meminta pandangan dan khidmat nasihat.

Biasanya, apa yang boleh dibantu, aku akan membantu. Serba-sedikit pengetahuan yang dimiliki tidak bermakna dan tidak menjadi amalan yang berpanjangan jika tidak disebar-sebarkan. Namun jika ada yang meminta bantuan - pinjam duit-ringgit, aku tidaklah seperti dulu-dulu. Dulu-dulu, aku tidak boleh tengok orang susah, aku cepat sangat jatuh kasihan. Apalagi untuk menolaknya sehinggakan adakalanya sikap lembut hatiku itu menyusahkan diriku sendiri. Aku akan cuba apa jua cara untuk membantu walaupun terpaksa mengeringkan kocek. Dan yang paling sedihnya, setelah dibantu mereka buat tidak tahu saja.

Teringat aku ketika masih belajar di IPTA dulu. Duit pinjaman Felda (aku anak Felda ye..) masih lagi berbaki dua-tiga ratus ringgit sebagai persediaan untuk masuk semester baru. Mungkin memikirkan aku ada duit, seorang hamba Allah ini datang merayu-rayu meminta dipinjamkan wang dan akan dibayar semula setelah dia mendapat gaji. Malangnya setelah dapat gaji, dia buat tidak tahu saja dan aku pula yang terpaksa merayu-rayu meminta dikembalikan semula wangku kerana pengajianku akan bermula.

Menuntut wang sendiri, rasanya bagaikan meminta sedekah... Pelbagai alasan diberi dan aku terpaksa menunggu dan menunggu..

Belajar daripada pengalaman, sejak itu aku menetapkan satu garis panduan. Jika ada yang ingin meminjam, aku akan membantu mengikut kemampuan. Aku akan fikirkan terlebih dulu sama ada pertolongan itu nanti akan menyusahkan diri aku sendiri atau tidak. Sebagai contoh, jika jumlah yang ingin dipinjamnya itu agak besar (sedangkan itu adalah duit bagi keperluan kecemasan keluarga aku), patutkah aku memberinya penuh (sebanyak mana yang diminta) ataupun sebahagiannya saja? Bagaimana kalau dia tidak membayar, lupa atau tiada kemampuan untuk membayar? Sanggupkah aku menunggu sehingga dia melangsaikan segala hutang-piutangnya walaupun memakan masa bertahun-tahun? Ataupun sanggupkah aku menghalalkannya begitu saja tanpa prasangka, dendam ataupun perasaan kecil hati?

Tolong-menolong, bantu-membantu adalah sifat yang dipuji Allah swt. Apabila berbuat baik, pahala ganjarannya. Namun apabila pertolongan itu menyebabkan seseorang bermasam muka dan tidak mahu bertegur sapa, bukan pahala yang dapat tetapi bala kerana menyebabkan perpecahan dan putusnya hubungan silaturahim.

Bagaimana caranya untuk menarik rambut dalam tepung - rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak?

Justeru, untuk mengelakkan daripada timbulnya perkara begini di kemudian hari, aku biasanya akan mengambil tindakan mudah. Aku akan memberi dalam jumlah yang sekiranya dia tidak ingat untuk membayar, aku halalkan dengan senang hati. Tolong, aku mesti akan tolong kerana aku beranggapan apabila ada orang yang meminta bantuan, Allah swt sedang membuka ruang dan peluang untuk aku mengumpul saham akhirat.

Dan aku juga tidak mahu hutang itu menjadi bebanan di akhirat nanti apabila aku terpaksa menunggu orang yang berhutang dengan aku sebelum aku dibenarkan masuk ke syurga (Ya Alllah...tempatkanlah aku, keluargaku, ibubapaku, guru-guruku, adik-beradikku, ipar-duaiku dan saudara-saudara, sahabat-handai dan saudara seIslamku di dalam syurga-syurgaMu.. Amin).

Sabda Rasulullah SAW: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim, 6/38).

Dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Baginda kerap mengajar umat Islam supaya berdoa dilepaskan daripada hutang: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu baginda ditanya: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhar, 1/214).

Dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 'Tahukah kamu siapakah dia orang Muflis?" Sahabat-sahabat Baginda menjawab: "Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda." Nabi SAW bersabda: "Sebenarnya orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamum orang ini dan menuduh orang itu memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang orang, makan akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu, kemudian kiranya habis amal kebaikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakan serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam Neraka."

Tertarik pada tulisan Abdul Muhaimin Mahmood pinjam-meminjam sudah dianggap perkara biasa. Ada yang meminjam untuk bermewah-mewah tetapi ada yang juga meminjam atas desakan keperluan.  Berapa banyak penjawat awam yang muflis kerana berhutang dan juga golongan muda lingkungan 30 -40an yang muflis kerana kad kredit.

Berbalik kepada klienku tadi, katanya dalam tempoh empat tahun ini dia terpaksa mengekang perbelanjaan gara-gara hutang kad kredit. Untuk menyelesaikan masalahnya itu, dia meminta bantuan AKPK dan kini dia terikat dengan jadual pembayaran yang ketat. Dalam tempoh itu, dia tidak boleh membuat pinjaman baru sehingga segala semua hutang-piutangnya selesai.
Kalau Suka LIKE le..

Friday 21 June 2013

Meminjam waktu

Wajah mirip dramatis tv itu direnungnya dengan tajam. Geram sungguh hatinya. Menyusahkan. Betul-betul menyusahkan. Tidak cukupkah dokumen yang dibawanya ini? Tidak cukupkah sijil pembahagian faraid daripada Mahkamah Syariah bagi membuat tuntutan pelaburan abangnya di Institusi Pelaburan Ini? Sijil pembahagian faraid ini sudah digunakan untuk mengeluarkan wang KWSP arwah abangnya. Tak ada masaalah pun. Sijil ini juga telah digunakan bagi menuntut insurans arwah di syarikat tempatnya bekerja. Tak ada masalah pun. Jadi apa masalahnya di sini?

Panas. Hatinya memang panas. Bukan saja dia terpaksa mengorbankan cutinya hari ini bagi menguruskan urusan arwah abangnya, malah dia berdepan pula dengan prosedur-prosedur yang dianggapnya remeh dan tidak masuk akal.

"Bukan ke semua harta pusaka perlu difaraidkan dan sijil faraid itu saya dah dapat daripada Mahkamah Syariah? Apa pasal surat kuasa faraid ini tidak boleh diterima pakai? KWSP, agensi yang besar itupun boleh terima, kenapa di sini tak boleh terima?" soalnya bertubi-tubi.

Hatinya betul-betul panas. Apa dia tidak tahu ke bagaimana susahnya untuk mendapat sijil faraid daripada Mahkamah Syariah? Dia perlu buat permohonan, naik-turun, naik turun Mahkamah beberapa kali dan terpaksa menunggu berbulan-bulan. Sekarang dia kena lalui proses yang sama semula? Biar betul?

Patutkah dia marah pada abangnya? Kenapa abangnya tidak mahu membuat persediaan sebelum mati dan sekarang terpaksa menyusahnya dan keluarga?

"Tolonglah Encik..." suaranya kendur, merayu. "Saya datang dari jauh ni... Sebelum ni sudah banyak cuti saya habis bagi menguruskan hal ni..."

"Memang saya nak tolong... tapi ini memang prosedurnya. Kena dapatkan suratkuasa atau Letter of Authority (LA) dari mana-mana Pejabat Tanah atau Mahkamah Tinggi. Saya boleh terima tetapi apabila sampai ke pihak atasan, permohonan puan mesti akan ditolak..." pemuda mirip dramatis itu menjawab dengan lembut.

Dia menoleh pada ibu dan bapa serta adiknya yang turut bersama. "Kita nak buat macam mana ni? Macam mana abah? Saya tak tahu mana-mana pejabat tanah...."suaranya mula lemah. Sudah ditetapkan peraturannya begitu. Mahu atau tidak mahu, masih tetap perlu diikut.

Memang hatinya terasa hampa. Sebelum ke sini, dia sudah membayangkan urusan peninggalan arwah abangnya dapat diselesaikan dengan segera. Dengan wang yang ada itu, dapatlah dia melunaskan segala hutang-piutang abangnya - hutang kereta, rumah, kad kredit. Hanya sekadar itu yang dia tahu. Bagaimana pula dengan hutang-piutang lain? Hutang dengan kawan-kawan ataupun hutang kawan-kawan yang meminjam daripadanya?

Bagaimana pula dengan hutang ibadahnya kepada Allah SWT - hutang solat dan juga puasanya? Bagaimana pula dengan hutang zakatnya - zakat pendapatan, simpanan yang cukup haul ataupun zakat pelaburan emasnya?

Apakah lagi hak-haknya ketika hidup yang masih belum dilunaskan? Dan bagaimana harta pusakanya dapat membantu meringankan bebanannya di alam kubur? Masya Allah... banyaknya perkara yang perlu difikirkan bagi pihaknya, hatinya berbisik.

Sebagai pentadbir harta abangnya, banyak perkara yang perlu dilaksanak. Dalam harta pusaka itu ada hak bagi urusan pengebumian, membayar segala hutang-piutang sama ada hutang dengan manusia mahupun hutang dengan Allah SWT (zakat, puasa dsb), menginfakkan atau mewakafkan sebahagian harta atas nama abangnya sebagai sedekah jariah agar pahala daripada amalan itu dapat dinikmati abangnya berterusan.

Nasib juga abangnya belum beristeri. Jika tidak perlu diselesaikan dulu urusan harta sepencarian dan akhir sekali baru boleh difaraidkan. Namun sebelum itu, pernahkah abangnya berwasiat ataupun menyuarakan apa-apa hasrat bagi tujuan kebajikan?

Dia faham. Selagi segala harta dan hasrat arwah abangnya tidak dilaksanakan, pasti rohnya tidak dapat bersemadi dengan aman. Bagaimanalah agaknya keadaan mereka yang meninggalkan harta berjuta-juta dan berebut-rebut pula adik-beradik? Tentunya sangat azab. Sekalipun sudah mati, urusan di dunia masih lagi belum selesai. Jika begitu keadaannya harta bukannya menjadi rahmat, saham yang dapat diraih di akhirat tetapi musibah dan sebagai natijahnya azab yang sangat pedih bagi si mati.

Tak sanggup rasanya dia memikirkan semua itu. Bagaimanalah agaknya keadaan abangnya di alam sana? Adakah rohnya tenang dan aman ataupun dihimpit kekalutan? Ya Allah... bantulah dia, terangi kuburnya dan ringankan penderitaan.. doanya berterusan.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad saw bersabda: "Apabila seorang anak Adam itu mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak soleh yang mendoakannya. (Hadis Sahih - Riwayat Muslim)

Malangnya, abangnya belum sempat beristeri. Ketika hidupnya tiada ura-urapun keinginannya untuk beristeri sekalipun usianya sudah mencecah 40 tahun. Tiada zuriat yang ditinggalkan dan terputuslah harapanannya untuk mendapat doa daripada anak yang soleh... Yang ada hanya dia, adik-beradiknya dan kedua-dua ibubapanya.

Seperkara yang boleh membantunya - harta-hartanya. Arwah abangnya masih boleh bergantung harap sekiranya selaku pentadbir dia dapat melaksanakan amanahnya dengan baik. Dia tidak mahu harta itu menjadi beban pada abangnya. Biarlah harta yang ditinggalkan itu dapat meringankan tanggungannya, dapat menerangi kuburnya dan dapat melindunginya daripada azab yang pedih.

"Saya cadangkan puan dapatkan LA tu dulu dan selepas tu kembali semula ke sini..." suara pemuda berwajah manis itu mengembalikannya ke alam realiti.

"Saya faham apa yang puan lalui kerana sayapun pernah lalui perkara yang sama..." Segala dokumen yang diberikan padanya dikembalikan.

"Jom abah, kita cari pejabat tanah. Elok kita uruskan perkara ni segera..."suaranya kedengaran sayu. Ada rasa sebak di situ. Dia sedar selagi urusan duniawi abangnya itu tidak dapat diselesaikan dengan segera, selagi itulah roh abangnya tidak dapat bersemadi dengan aman.

MATI itu satu kepastian. Adakah kita sudah bersedia menghadapinya ataupun kita masih ingin meminjam waktu daripada Yang Maha Esa?


Kalau Suka LIKE le..

Thursday 20 June 2013

Apa jadi apabila tiada wasiat atau penama?


Wang tunai yang perlu dituntut si waris.

Salam sejahtera. Hari ini aku ke ibu pejabat bagi membantu menguruskan tuntutan pindah milik pelaburan seorang pelabur ku yang sudah meninggal dunia. Hanya hari ini saja aku dapat berkenalan dengan warisnya - ibu, ayah dan juga adik perempuan dan adik lelakinya. Sebelumnya kami hanya berhubungan melalui telefon saja. Itu pun setelah adik lelakinya menemui kad namaku dalam dompet klienku.

Klienku ini adalah juga rakan sekerja di tempat kerja lama. Aku berkenalan dengannya ketika kami sama-sama di meja hiburan dan selepas berhenti kami masih berhubungan kerana dia meletakkan sepenuh kepercayaan padaku untuk menjaga akaun pelaburan EPFnya.

Berusia lingkungan 40an, dia masih bujang. Orangnya sangat kreatif dan banyak menghasilkan skrip-skrip filem untuk syarikat-syarikat filem tempatan. Aku memang angkat tabik padanya kerana dalam kesibukan memenuhi tuntutan kerja dan dateline, dia masih mampu menghasilkan idea-idea kreatif untuk digarap dalam industri perfileman tempatan. Namun garapannya tidak lama dapat dinikmati peminat seni apabila dia meninggal dunia pada tahun 2012 akibat kanser usus.

Sepanjang menjadi klienku, dia seorang yang sangat 'obedient'. Pelaburan EPF dibuat berterusan pada tempoh pengeluaran yang ditetapkan. Hasil daripada tindakannya itu, keuntungan yang didapatinya amat memberangsangkan dengan purata keuntungan tahunan hampir 12 peratus setahun. Daripada jumlah terkumpul keseluruhan lebih RM98,000 (diambil berperingkat-peringkat setiap 3 bulan selama 5 tahun daripada EPF) kini jumlah itu sudah berkembang menjadi lebih RM165,000.

Cuma yang aku agak terkilan kerana ketika hayatnya ketika aku sarankan untuk dia meletak penama bagi pelaburannya, perkara itu tidak begitu diberatkan. Aku faham dengan kesibukannya tetapi manusia mana yang tidak sibuk.Jika tidak diperuntukkan masa ataupun dicarikan waktu, memang sampai bila-bilapun kesibukan itu akan membelenggu.

Dua minggu sebelum PRU13, adik lelakinya menghubungi aku bagi membantu menguruskan pindahan pelaburan abangnya. Disebabkan tiada penama, aku jelaskan padanya dokumen yang perlu dibawanya iaitu:
a. Letter of Authority - LA (surat kuasa pentadbir dari Pejabat Tanah ataupun Mahkamah Tinggi)
b. Surat mati
c. Kad pengenalan simati
d. Kad pengenalan pentadbir.

Ketika bertemu dengan warisnya hanya surat kuasa daripada Mahkamah Syariah saja bagi tujuan faraid bersama dokumen-dokumen lain saja yang ada. LA tidak disertakan malah warisnya merasakan LA tidak perlu kerana mereka sudah mendapat surat kuasa daripada Mahkamah Syariah.
Alasannya sebagai Muslim, harta-harta hanya perlu difaraidkan mengikut cara Islam. Jadi surat kuasa untuk memfaraidkan daripada Mahkamah Syariah sudah memadai.

Aku tidaklah pandai sangat dalam bidang undang-undang. Yang aku tahupun hanya setakat daripada pembacaan, pengalaman dan juga perbincangan dengan rakan-rakan. Setahu aku (jika salah tolong betulkan ye..) apabila seseorang itu meninggal, harta bendanya berada dalam dua lingkungan kuasa iaitu mahkamah sivil dan juga mahkamah syariah.

Apabila seseorang itu meninggal perkara pertama yang perlu dilakukan warisnya adalah untuk melantik pentadbir. Permohonan untuk melantik pentadbir ini boleh dibuat di Pejabat Tanah ataupun Mahkamah Tinggi bergantung kepada berapa banyak harta yang ditinggalkan simati. Jika nilai hartanya kurang daripada RM2 juta memadai permohonan untuk mendapatkan LA itu dibuat dipejabat Tanah. Untuk maklumat terperinci boleh klik pada Panduan Permohonan Tuntutan Pembahagian Harta Pusaka Kecil di SINI.

Hanya setelah pentadbir dilantik dan semua aset itu dipindahkan ke atas namanya barulah boleh diagihkan mengikut faraid ataupun sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh simati.

Dalam kes klien aku ini, dia tidak pula membuat sebarang wasiat ataupun meletakkan penama bagi pelaburannya. Jika diletakkan penama, segala urusan pindah milik pelaburannya boleh dibuat dengan mudah. Dalam tempoh 30 hari penyerahan dokumen, wang simati boleh diserahkan kepada pihak-pihak berkenaan. Prosedur pindahannya menjadi amat senang, cepat dan lancar.

Namun tidak semua orang yang menyedari kepentingan membuat wasiat ataupun penama bagi simpanan.  Apabila berlaku kematian, ketika itulah siwaris perlu bersusah-payah untuk menguruskan semua yang berkaitan harta simati. Waris bukan saja mewarisi harta-hartanya malah hutang-piutangnya juga. Jika hutang-piutang itu tidak disenaraikan ataupun tidak diketahui sesiapa, bagaimana dapat ia dilunaskan sedangkan amalan anak Adam itu tergantung-gantung selagi hutang-piutangnya tidak dijelaskan?

Mati walaupun hakikatnya satu kepastian bukanlah isu yang digemari kerana kebanyakannya (termasuk aku sendiri) memikirkan kita akan hidup bertahun-tahun lagi. Jika tidak dibuat hari ini, esok masih ada. Tetapi adakah kita pasti esok masih ada untuk kita?

Tidak menghairankan ketika diadakan penulisan wasiat baru-baru (diberikan percuma kepada klien-klienku) hanya beberapa kerat saja yang hadir. Ramai yang menganggapnya tidak penting. Mungkin apabila sudah berdepan dengan kesulitan untuk menguruskannya baru timbul kesedaran pentingnya wasiat dan juga penama ini?

Berbalik kepada waris klien aku tadi, dia terpaksa membuat permohonan semula untuk mendapatkan suratkuasa pentadbir. Harta yang ada perlu dituntut, Jika tidak jumlahnya akan bertambah. Sehingga kini mengikut pengetahuanku sejumlah RM52billion harta (alih dan tak alih) yang tidak dituntut kerana tiada pentadbirnya. Ruginya harta sebanyak itu dibiarkan begitu saja... tidak boleh nak dimajukan dan tidak juga boleh diagih-agihkan...

Saban tahun jumlahnya semakin meningkat. Dan sekiranya tiada kesedaran masyarakat bahawa wasiat atau penama itu adalah salah satu persediaan kita sebelum mati, jumlah itu akan terus bertambah dan waris-waris kita akan terus berdepan dengan pelbagai kesulitan ekoran ketidak bertanggungjawaban kita ke atas harta benda kita sendiri..

p/s: untuk suatu tempoh terhad pihak kami (aku dan beberapa rakan lain) ada menjalankan bengkel penulisan wasiat percuma. sekiranya ada yang berminat boleh menghubungiku ataupun menghantar sms ke talian 013-3311981.
Kalau Suka LIKE le..

Menarik di PING BUSUK

Free blog ping