Free blog ping

Monday 26 November 2012

Daripada pencuci pinggan kepada jutawan

Ini dia kad jemputan dari Encik dan Puan F..

Pagi tadi Kitty menerima kunjungan mengejut seorang klien Kitty, Encik A dan isterinya, Puan F, ke rumah. Mereka datang untuk memberi kad jemputan perkahwinan anak sulung perempuan mereka yang bakal berlangsung 2 Disember 2012 ini.

Yang menariknya mengenai pasangan ini, mereka adalah satu-satunya klien Kitty yang sanggup menghantar cek RM100,000 ke rumah (malam-malam lagi...) semata-mata untuk membuat pelaburan dalam saham amanah. Klien-klien lain biasanya akan berurusan di pejabat ataupun di mana-mana tempat appoinment yang dipersetujui.

Yang membuatkan Kitty teruja untuk berkongsi cerita mengenai mereka adalah bagaimana mereka boleh menjadi jutawan pada usia awal 40an. Bukan jutawan segera tetapi jutawan yang bermula dengan hanya bekerja sebagai pencuci pinggan.

Cerita Encik A sungguh menarik. Setelah tamat tingkatan lima, dia terima masuk ke sebuah universiti awam di Kuala Lumpur. Pemergiaannya diiringi harapan menggunung keluarga namun hajat itu tidak kesampaian apabila tahun pertama saja Encik A sudah terkandas dalam pelajaran.

Seperti yang diceritakan pada Kitty, dia malu untuk pulang ke kampung apalagi sebelum pergi keluarga saya siap buat kenduri. Satu kampung tahu dia diterima belajar di universiti. Tak sanggup dia berdepan dengan orang kampung dan berkemungkinan keluarganya juga mendapat malu berikutan kegagalannya itu.

Dari Kuala Lumpur, Encik A menaiki bas ke Kelang untuk mencari pekerjaan. Dia diterima bekerja sebagai pencuci pinggan-mangkuk di sebuah kedai makan. Berkat kegigihan dan kesungguhannya bekerja, dia dinaikkan bertahap-tahap daripada pencuci pinggan kepada pembancuh air sehinggalah sebagai penjaga cashier.

Tauke kedai makan berkenaan memberi sepenuh kepercayaan kepada Encik A. Dia diajar semua selok-belok pengurusan kedai makan. Kerajinan dan kejujurannya menambat hati tauke kedai makan itu lantas Encik A dijodohkan dengan anak gadisnya.

Setelah berkahwin, Encik A tidak mahu terlalu bergantung hidup pada keluarga mentuanya. Dia memohon berniaga di kantin-kantin sekolah dan juga pejabat-pejabat kerajaan. Dari satu sekolah ke satu sekolah, dia berniaga. Berikutan rekod perkhidmatannya yang bagus (beberapa kali kantinnya menerima anugerah kantin terbaik di Selangor) tidak sukar dia untuk meyakinkan pihak sekolah.

Bagaimana cara dia menggandakan pendapatannya?

* Encik A dan isterinya berpecah menguruskan kantin masing-masing. Encik A menguruskan kantin sekolah di Shah Alam manakala isterinya pula di Subang Jaya.

* Encik A dan isteri membeli tanah dan mendirikan rumah sewa di atas tanah berkenaan. Mereka kini mempunyai lebih 20 pintu rumah sewa yang disewakan kira-kira RM400 sebulan.

* Mereka juga menyewakan tapak tanah kepada sebuah syarikat pengangkuta untuk dijadikan depot lori.

* Mereka juga memajak tanah mereka kepada syarikat telekomunikasi yang membina pencawang dengan pajakan antara RM3000 ke RM5000 sebulan.

Kitty melihat Encik A dan Puan F biasa-biasa saja. Di hadapan banglo mewah mereka dibina rumah persinggahan berkonsep hotel yang dijadikan tempat tinggal saudara-mara yang datang bertandang.

Banyak yang Kitty pelajari daripada Encik A. Antaranya:

1. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya. Kegagalan itu menyimpan hikmah tersendiri - menutup satu pintu dan membuka pintu lain yang lebih luas lagi.
2. Fokus dan komited mencapai matlamat.
3. Bijak merebut peluang.
4. Memahirkan diri dan menjadi pakar dalam satu-satu bidang.
5.. Membuat perancangan kewangan - bagaimana wang yang ada dapat menjana lebih pendapatan.
6. Tidak bergantung kepada hanya satu sumber pendapatan.
7. Mempunyai multiple stream of income khususnya income pasif (daripada sewa rumah dan pajakan tanah).
8. Mengagihkan simpanan tunai dalam beberapa kantung pelaburan bagi memaksimumkan pulangan.


Kalau Suka LIKE le..

Friday 23 November 2012

Seringgit yang berharga

Berapa harga nasi lemak sekarang?


Tips kewangan # 1: Menabung. Mulakan sekarang biarpun dengan seringgit!

Mungkin ada yang akan berkata: Seringgit? Berapa sangatlah nilainya...

Zaman ini, seringgit memang tidak bernilai. Ada orang tak pandang pun duit seringgit. Apa yang dapat dibeli dengan duit seringgit?

Sebungkus nasi lemak biasa yang nasinya setengah cawan, sambal dengan dua-tiga ekor ikan bilis dan 1/4 telur harganya lebih seringgit. Seringgit dapatlah beli dua biji karipap yang harganya 40 sen sebiji.

Di kampung, seringgit masih dapat lagi 3 biji kuih. Kalau makan karipap di Killiney's, sebiji karipap (saiznya besar sikit) harganya sudah lebih seringgit...Pendeknya seringgit memang tidak boleh hendak dibawa ke mana-mana. Cukup setakat beli kuih untuk alas perut saja..

Namun begitu jangan pandang rendah pada satu ringgit. Satu ringgit jika disimpan setiap hari, satu bulan akan     menjadi RM30. Jika disimpan setahun akan terkumpul RM360. Bagaimana jika disimpan 10 tahun atau 15 tahun? Mungkin jumlahnya tidak begitu banyak, namun jika mempunyai simpanan atau tabungan antara RM3600 ataupun RM5400, banyak yang boleh digunakan dengan duit itu..

Tidak kisahlah jika kita tidak didedahkan mengenai pengurusan kewangan paling asas ini di sekolah. setelah habis belajar dan bekerja. Sebahagian kecil wang gaji seharusnya disimpan dan ditabungkan. Jika bergaji kecil, simpan RM30 ke RM50 sebulan. Simpan dan lupakan. Jangan terlalu difikirkan kerana ia akan membuatkan kita rasa tergoda dan ingin berbelanja.

Jika ingin membeli sesuatu, buat pula tabungan lain khusus untuk mendapatkan barang yang kita inginkan itu. Jangan dicampur-adukkan kedua-dua. Simpanan yang dilupakan itu adalah untuk memenuhi matlamat jangka masa panjang (tak kiralah apa pun matlamat kita - untuk beli rumah ataupun sekadar simpanan hari tua) manakala tabungan lain itu pula untuk memenuhi matlamat jangka masa pendek (deposit kereta, duit hantaran  kahwin ataupun beli gadget-gadget yang kita suka).

Jadikan menabung ini sebagai satu amalan. Jika ia sudah menjadi sebahagian daripada tabiat, menjadi satu kelaziman jika tidak menabung sebulan terasa diri kita seolah-olah ada yang tidak kena. Menabung ini banyak kebaikannya. Antaranya:

* menyuntik semangat pada diri - penghargaan untuk diri sendiri
* meningkatkan self-worth (nilai kendiri)
* berkeyakinan
* hidup lebih tenang dan ceria
* mempunyai matlamat yang jelas dan terancang
* hidup lebih teratur.

Bagaimana menabung tanpa merasa duit keluar daripada poket?
1. Tentukan berapa banyak yang ingin anda simpan sebulan. Mulakan dengan jumlah yang selesa dan tingkatkan sedikit demi sedikit. Mungkin mulakan 5% dulu daripada jumlah pendapatan anda.

2. Tentukan di mana wang itu ingin anda simpan - akaun simpanan biasa, Tabung Haji, ASB ataupun saham amanah. Buat perbandingan pulangannya dan nilai tahap risiko anda. (Ada baiknya jika anda dapatkan nasihat daripada perunding kewangan)

3. Buat Arahan Tetap Bank (Auto-debit transaction) dan pada tarikh yang ditetapkan secara automatik wang anda akan dimasukkan dan terkumpul dalam akaun berkenaan.

4. Jika menyimpan sendiri, pastikan anda mempunyai disiplin yang tinggi, komited dengan matlamat anda untuk menyimpan.


Kalau Suka LIKE le..

Thursday 22 November 2012

Fenomena beruang kutub

Beruang yang baru keluar dari hibernasi...hehehe..

Ye!!! Berjaya! Akhirnya Kitty  berjaya mengeluarkan diri daripada fenomena 'beruang kutub'. Bagi yang pernah mengalaminya memang akan terasa betapa bahagianya apabila berjaya membebaskan diri daripada fenomena yang kurang memberangsangkan itu.

Beruang kutub adalah satu fenomena yang agak menakut dan menggerunkan bagi mereka yang bekerja sendiri seperti Kitty. Keadaan ini berlaku apabila perasaan ingin memerap di rumah lebih menebal daripada keinginan untuk bertemu pelanggan. Boleh juga disebut sebagai proses hibernasi - macam beruang yang hibernate masa musim sejuk yang kerjanya tiada lain selain daripada makan-tidur, makan tidur aje... hahaha... (Beruang masa hibernate makan ke? Tak rasanya kan?...Tak kisahlah apa-apapun tapi manusia macam Kitty memang kena makan....)

Tamat aje tempoh tu... memang rasa lega. Lapang dada. Bolehlah sambung semula tugas-tugas yang ditinggalkan... Nasib baiklah kerja sendiri. Kalau kerja dengan orang lain, mesti kena buang kerja... alahai..

Apa-apapun Kitty rasa bersyukur. Ada kalanya kita perlu waktu untuk buat refleksi dan renungi. Boleh juga dianggap sebagai tempoh bertenang - mengumpul semangat menguatkan azam dan merangka strategi supaya bangun lebih mantap.

Jiwa manusia ni macam pasaran saham. Ada turun dan naiknya. Cuma sendiri mahu ingat bila harus bangun dan melantun kembali. Bagi Kitty lonjakkan perlu dibuat apabila timbul rasa bosan berhibernasi!

Tips lonjakan semangat bagi yang bekerja sendiri:
1. Tetapkan berapa lama tempoh maksimum untuk berhibernasi (dua-tiga hari, seminggu atau dua minggu). Bagi masa pada diri sendiri untuk bersantai-santai dan bermalas-malas sehinggakan timbul rasa bosan duduk di rumah.

2. Gunakan masa itu untuk menilai semula prestasi diri - kelemahan dan kekuatan dan setakat mana sudah tercapai matlamat yang ditetapkan.

3. Fahami kenapa anda berhibernasi. Kebiasaannya kerana anda merasa selesa dengan kehidupan yang ada,  ingin bersenang-senang, tiada matlamat yang jelas ataupun matlamat yang dirancang itu sudah tercapai. Justeru, anda berasa tiada apa lagi yang perlu anda kejar.

4. Besarkan impian dan keinginan anda. Bila impian terlalu kecil, anda tidak lagi begitu teruja untuk mendapatkannya. Cabar diri anda dengan membina impian yang besar dan berusaha untuk merealisasikannya dalam tempoh yang ditetapkan.

5. Akhir sekali, tanyakan pada diri anda apakah sumbangan anda kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara? Bagaimanakah anda boleh memberi sumbangan bermakna yang sekalipun tidak dihargai oleh orang lain, anda puas melakukannya kerana anda sudah memberikan yang terbaik?

6. Hidup untuk memberi. Harapkan ganjaran hanya daripada Allah swt.


Kalau Suka LIKE le..

Wednesday 21 November 2012

Freezer meals - bergedil

Bergedil daging korban

Assalamuaikum dan salam ceria.

Sudah lama Kitty merancang untuk buat bergedil daging berikutan masih lagi banyak daging korban yang disimpan dalam peti sejuk. Semalam merancang untuk buat tapi tidak kesampaian. Sekadar kupas kentang aje.. (Ish...ish...ish.. apalah nak jadi kat Kitty... bila datang angin kus-kusnya semuanya tak menjadi...hihihi...)

Apa-apapun misi untuk membuat bergedil kentang diteruskan hari ini. Hasilnya jadilah bergedil yang comel-comel... sekali ngap aje...

Sebelum digoreng...
Bergedil ini memang Kitty rancang untuk disejukbekukan. Macam juga daging beriyani (itupun guna daging korban juga!) yang masih lagi belum lengkap setnya untuk dimakan. Untuk makan bersama daging beriyani, Kitty rancang untuk buat acar buah (teringat pada acar buah air tangan arwah mak mentua Kitty - memang tersangat sedap dan bila buat acar buah saja, arwah mak mesti simpankan sikit untuk Kitty bawa balik... Sekarang ini susah nak jumpa acar buah yang sesedap itu....). Bila cukup setnya barulah Kitty cadang untuk masak nasi beriyani... (Bila tu?... Tak taulah...  Kena tanya anak tekak dulu...hihihi..)

Bila buat freezer meals ni, Kitty rasa lebih mudah... banyak masa terluang yang boleh Kitty manfaatkan untuk buat perkara lain. Setiap hari memang Kitty masak tetapi cuma masak nasi dan satu atau dua jenis masakan saja. Setiap kali masak lauk-pauk, Kitty akan gandakan hidangannya. Satu untuk dimakan dan satu lagi untuk disejukbekukan. Tempoh persediaan masakannya sama saja... Siap saja Kitty akan letakkan dalam bekas aluminium - setiap satu untuk sekali makan.

Bergedil ni Kitty rancang sebagai side dish soto. Jadi buat dulu, bergedilnya dan bila teringin nak makan soto, tinggal rebus nasi impit dan buat kuah soto. Kacang tanah goreng dah ada tinggal goreng suhun dan daging ayam yang disiat-siat saja. Bagi yang teringin nak buat bergedil, ini resipinya... (maaflah... Kitty copy and paste aje...)

Resipi asal: ratnamurniwati @MyResipi
Olahan: Kittymuiza

Bahan-bahan ( 3 orang )

  • 2 bj kentang (Kitty guna 5 biji kentang)
  • segenggam daging cincang ramly(Kitty guna secawan daging korban yang direbus dan dikisar kasar)
  • daun sup dicincang halus (Kitty guna daun bawang aje - itu yang hubby beli)
  • 5 sudu besar bawang goreng (Kitty guna satu cawan)
  • satu sudu kecil garam
  • 1/2 sudu kecil lada sulah (Kitty guna satu sudu besar lada hitam -ditumbuk halus)
  • 1 biji telur (di pukul)

Cara-cara

  1. kentang dipotong dan digoreng hingga garing.
  2. setelah garing, tumbuk atau lenyekkan kentang itu hingga hancur.
  3. kemudian ambil daging cincang dan gaulkan bersama kentang yg sudah dilenyek td.
  4. setelah itu masukkan daun sup, bawang goreng, lada sulah dan garam.
  5. gaul hingga semua bahan sebati. kemudian ambil sedikit dan bulat2kan dengan saiz sederhana
  6. akhir sekali, celupkan dalam telur dan goreng.

Disejukkan dulu sebelum disimpan..

Tips menyimpan:

Kitty akan sejukkan terlebih dulu sebelum tutup dengan aluminium foil. Simpan dalam freezer dan bila ingin makan, keluarkan dari freezer dan letak dalam peti ais sebelah bawah. Biarkan ia defrost secara perlahan-lahan. Ataupun anda boleh letakkan di luar (dalam tempoh dua-tiga jam) sebelum dipanaskan.

Untuk memanaskannya, biasanya Kitty lebih suka gunakan wap. (Kitty didihkan air dalam periuk leper dan tutup. Biarkan ia mendidih 10 atau 15 minit. Jika makanan itu sudah didefrostkan terlebih dulu, tempoh memanaskannya lebih singkat.

Bagaimana memastikan makanan sudah sedia untuk dimakan?
Sentuh bahagian penutup bekas aluminium itu. Jika bahagian tengahnya terasa sejuk menandakan kepanasannya masih belum sekata.

Kalau Suka LIKE le..

Monday 19 November 2012

Freezer meals: 20 Minutes Family Meals!


Ini dia stok freezer meals Kitty...

Semuanya bermula sekembalinya adik perempuan Kitty daripada Tanah Suci 6 November lalu. Kami sekeluarga berpakat membuat kenduri doa selamat pada malam yang sama dengan menjemput jiran-jiran, jemaah surau dan keluarga terdekat. Kebiasaannya apabila buat majlis makan-makan, Kitty suka masak sendiri tapi kali ini Kitty order saja Nasi Ambeng daripada Kak Sariah yang berniaga gerai makan di Teluk Panglima Garang, Klang.

Nasi Ambengnya memang sedap. Cukup serba-serbinya dengan lauk pilihan (Kitty pilik ayam masak kicap dan ayam masak merah), sayur campur, mi goreng, ikan masin, serunding, kacang tanah dan nasi putih. Mulanya Kitty fikir nak bungkus-bungkus aje tapi hubby kata, elok buat hidang. Bagus juga cadangan hubby tu. Bukannya apa, selalunya bila beli nasi ambeng, tiga bungkus aje sudah cukup kami sekeluarga 6 orang. Kalau beli empat bungkus mesti berbaki. Kitty memang tak suka bab bazir-membazir ni...

Memang Kitty dah agak... mesti banyak lebih. Order untuk 80 orang tapi nasinya saja dua termos besar... Begitu juga dengan lauk-pauk dan makanan lain... Esoknya mulalah Kitty pening kepala nak buat macam mana dengan nasi yang berlebih-lebih tu... Itu pun sebahagiannya sudah Kitty bungkus sekali dengan lauk-pauk untuk bekal saudara-mara bawa pulang... tapi masih lagi banyak yang berbaki..

Kitty terfikir untuk frozen atau disejukbekukan... Kitty pek dalam plastik dan letak semuanya dalam freezer. Untuk lihat bagaimana keadaan makanan setelah disejukbekukan... tidak menghampakan. Kitty keluarkan nasi yang ingin dimakan dan biarkan pada suhu bilik, lepas tu Kitty masukkan dalam periuk nasi. Nasi bila disejukbeku, ia agak kering sikit. Jadi, Kitty letakkan sedikit air dan biarkan ia panas. Nasinya elok dan tak soggy. Malah boleh bertahan sehingga ke petang dan masih lagi elok keesokkan paginya..

Cuma bila nak disejukbeku, nasi tu perlulah dimasak sedang elok. Jika nasinya lembik memang tak elok untuk disimpan. Nasi lembik yang berlebih boleh juga disejukbeku, boleh buat cucur nasi...

Udang telur dan sambal udang petai ni stok terbaru yang Kitty buat semalam..

Itulah permulaannya bagaimana Kitty mula buat freezer meals. Rupa-rupanya freezer meals ni bukanlah sesuatu yang asing di Barat.Dah lama mereka buat... Masa awal tahun 90an dulu pun Kitty pernah juga buat freezer meals ni... Sabtu atau Ahad Kitty guna untuk masak 5-6 jenis resipi dan letak dalam freezer. Cumanya masa tu Kitty guna bekas plastik. Yang agak leceh sebab nak kena defrost dulu... itu yang ambil masa. Masa tu tak terfikir pulak cara terbaik untuk defrost kannya...

Bila dah jumpa cara terbaik untuk defrost, Kitty rasa sangat berbaloi. Dalam stok freezer Kitty ada sambal udang petai, udang goreng telur, beriyani daging, ikan pelata sambal cili padi, kari ayam, sotong kicap, ayam masak kicap, ayam masak merah, sup ayam dan untuk pencuci mulut, Kitty ada pengat pisang dan serawa durian.

Bila nak makan, keluarkan saja dari freezer dan didihkan dalam air selama 15 ke 20 minit. Siap. Jimat masa. Jimat tenaga dan jimat wang. Bila letak dalam magkuk hidang anak-anak tak tanya pun ini lauk masak bila. Yang selalu Kitty tanya, malam ni nak makan apa? Pilih aje menu yang ada. Panaskan dan hidang. Kalau nak tambah, setakat goreng sayur simple-simple. Mudah dan banyak membantu Kitty...

Senarai freezer meals yang Kitty tulis di white board... lengkap dengan cara memasak lagi...  Cara masak freezer meals untuk breakfast lain ye....


Kalau Suka LIKE le..

Menarik di PING BUSUK

Free blog ping