Free blog ping

Wednesday 20 June 2012

Nasi goreng Pataya Farhat

Nasi Goreng Pattaya Farhat

Assalamualaikum wbt..
Lama sungguh rasanya tidak menjengah blog sendiri.. Terasa teramat rindu untuk menulis lagi.Seminggu-dua ni Kitty memang sibuk sikit. Banyak perkara yang berlaku dan banyak benda yang perlu diuruskan. Bila keadaan agak lapang barulah boleh nak menghadap laptop semula.. Jika tak, menghadap laptop hanya untuk update klien dan buat kerja...

Tengahari ni Kitty ada appointment lagi di KL. Apa yang perlu Kitty tinggalkan untuk makan tengahari anak bongsu Kitty? Buat nasi goreng pattaya lah... lagipun dah janji dengan Farhat nak buat nasi goreng tu..Apalagi Kitty pun masaklah nasi... Nasi semalam dah habis..lagipun kalau nasi semalam tak boleh nak tahan sampai petang...

Jika ada sesiapa yang nak buat nasi goreng pattaya, ini resipinya...

Bahan-bahannya:
3 cawan nasi
3 ulas bawang putih (diketuk)
1/2 cwn sayur campur (ini ikut suka, jika suka banyak letak banyak)
cili padi (potong-potong)
2 cili hijau (potong-potong)
5 batang crab stick (potong-potong)
1/2 kiub ikan bilis
garam secukupnya
3 biji telur
sedikit minyak masak

Cara membuatnya:
1. Panaskan kuali, masukkan sedikit minyak dan masukkan bawang putih, cili hijau dan cili padi, goreng sehingga naik baunya.
2. Masukkan sayur campur dan crab stick yang sudah dipotong. Kemudian masukkan garam dan kiub ikan bilis.
3. Setelah itu, masukkan nasi dan kacau hingga sebati. Angkat dan ketepikan.
4. Pecahkan telur dan campurkan sedikit garam.
5. Panaskan kuali (lebih mudah guna kuali leper) dan sapukan dengan minyak. Tuangkan sebahagian telur yang telah dipukul tadi dan dan layangkan seperti membuat lempeng. Bila telur hampir masak, masukkan nasi goreng tadi dan lipat.
6. Untuk memudahkan mengangkatnya, tangkupkan pinggan di atas kuali dan terbalikkan.. Walla... dah siappun...
Kalau Suka LIKE le..

Wednesday 6 June 2012

Kantonis Ee Mee mudah..

Kantonis Ee Mee yang ringkas..
Dua tiga hari ini selera Kitty pada nasi berkurangan. Rasa jemu pula sebab hari-hari makan nasi! Nampaknya kes beratlah tu... tapi Kitty memang selalu begitu. Masa study dulupun terutamanya masa tangan exam, ada masanya Kitty memang tak makan nasi. Kalau makanpun ciput je... sekadar untuk isi perut. Sebagai penggantinya, Kitty akan minta mamak goreng telur mata kerbau dua biji (kesian kerbau tu dah tak ada mata...kahkahkah) dan buat air holicks panas satu mug. Telur tu makan dengan kicap. Burppp! Kenyang... Senangkan?

Bila sudah tiada selera, mulalah kepala berfikir nak buat apa. Semasa beli barang dapur itu hari Kitty ada beli sebungkus Ee mee (Claypot Ee Mee). Sengaja sedia untuk masa-masa macam ni... Buat Kantonis Ee Mee lah... Lagipun semua bahan-bahan dah ada.. Senang saja nak buatnya.. Jika ada yang ingin mencuba, ini resipinya:

Bahan-bahannya:

Sebungkus Ee mee (cukup untuk makan lima orang)
4 ulas bawang putih (diketuk dan cincang halus)
3 batang park choy (potong anggaran satu inci dan asingkan batangnya)
5 biji telur
10 ekor udang sederhana besar
1 atau 2 kiub ayam (Kitty guna kiub ayam Maggi)
garam secukup rasa
6 cawan air
minyak untuk menumis
2 sb tepung jagung
sedikit lada sulah (ikut suka tapi Kitty tak letak pun)

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bawang putih dan kacau sehingga naik baunya.
2. Masukkan air dan biarkan sehingga hampir mendidih sebelum dipecahkan telur ke dalamnya.
3. Masukkan kiub ayam, batang park choy, garam dan tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air. Biarkan menggelegak.
4. Akhir sekali masukkan udang dan daun park choy tadi.
5. Cara menghidangnya: Letakkan sekeping Ee Mee dalam mangkuk dan tuangkan kauhnya tadi. Siap. Enak dimakan bersama cili padi potong dan kicap.

Resipi yang mudah, ringkas, menyelerakan dan kenyang dimakan. Itulah hidangan makan malam Kitty sekeluarga malam tadi...



Kalau Suka LIKE le..

Tuesday 5 June 2012

Advance reward atau bikin hutang?


Sebenarnya sudah lama teman baik Kitty meminta Kitty menulis mengenai isu ini. Isu yang sering bermain di kepala otaknya sejak berbelanja sakan ketika melancong ke Eropah, April lalu. Lama Kitty memikirkannya barulah tergerak jari untuk mengetuk papan kekunci komputer ni... Bukannya apa, bimbang jika tersalah tulis ada pula yang terguris ataupun terasa hati...

Persoalan yang ingin diperkatakannya adalah advance reward... atau bikin hutang?

Sebilangan orang menganggapnya sebagai advance reward. Hadiah untuk diri sendiri; penghargaan pada diri; tanda sayangi diri; manjakan diri. Yang semuanya menuding pada satu - berbelanja untuk diri sendiri. Sekali-sekali berbelanja untuk diri sendiri memang baik sebagai galakan, ransangan, motivasi ataupun penghargaan. Tetapi jika berbelanja berhabis-habisan dan membayarnya kemudian, adakah itu satu ganjaran ataupun satu penyiksaan?

Mungkin ramai yang tidak sependapat dengan Kitty. Jika suka apa salahnya beli dulu dan bayar kemudian? Memang tidak salah. Lagipun bank memang pun bagi kad kredit kepada pelanggan yang layak (juga yang tidak layak) supaya pelanggannya boleh berbelanja dulu dan membayarnya kemudian. Bila guna, mesti bayar dan pastinya ada faedah! Kecuali jika bayaran dibuat dalam tempoh tanpa faedah yang biasanya 20 hari!

Dan bank juga memberi kemudahan pendahuluan tunai daripada kad kredit. Pergi saja ke mana-mana mesin ATM. Cucuk saja kad kredit, pasti dapat duit. Yang ini, bukan saja dikenakan caj kewangan malahan dikenakan yuran pendahuluan tunai. Transaksi jenis ini, tiada tempoh tanpa faedah. Caj kewangan dikira bermula dari tarikh pengeluaran.

Cuba perhatikan jadual di bawah - tempoh bayaran balik dan jumlah faedah yang dikenakan jika hanya membayar amaun minimum 5 % setiap bulan baki belum jelas. Sebagai contoh, jika baki belum jelas RM1,000 dan hanya bayaran bulanan minimum dibuat. Masa diambil untuk menjelaskan semua hutang adalah 5.8 tahun dengan jumlah faedah RM382, berdasarkan kadar faedah 18% setahun. Tinggi tu...


Berbalik pada isu advance reward tadi... Berbaloi ke berhutang beribu-ribu semata-mata kerana mahu dilihat 'engkau ada, aku pun ada' (beli barangan berjenamalah tu...) dan kemudian mengeluh sakit poket berbulan-bulan...ish...ish...ish..

Jika tanya Kitty, terus terang Kitty tak sanggup... Sakit jiwa rasanya nak lunaskan hutang-piutang ni apalagi hutang kad kredit yang mencanak-canak tinggi kadar faedahnya..  Jika dibeli secara tunai, menabung sedikit demi sedikit pada Kitty lebih berbaloi. Kepuasan memilikinya juga berlainan...

Kad kredit ini memang penyelamat ketika waktu kecemasan namun ia boleh bertukar menjadi penyakit jika berbelanja tanpa pertimbangan.. Jadi, timbang-timbangkanlah sendiri sebelum menggunakannya...

Pada teman baik Kitty...anggaplah RM20,000 untuk jalan-jalan dan beli beg berjenama tu sebagai advance reward. Latihan marathon untuk bekerja lebih keras pada bulan-bulan akan datang..  Mungkin ada masanya kena bagi hadiah dulu baru boleh kerja... Macam budak kecil yang perlu diberi gula-gula... hehehe..
Kalau Suka LIKE le..

Monday 4 June 2012

Ketagih menabung?


Sudah empat hari masuk bulan Jun. Bagi yang bekerja pastinya sudah menikmati upah ataupun gaji. Ada yang dapat gaji 25hb. Ada yang dapat betul-betul hujung bulan dan ada juga yang dapat gaji  7 haribulan! Tak kiralah bilapun dapat gaji. Yang penting ada gaji dan dapat gaji!

Kitty nak tanya.. bila dapat gaji selalunya bagi siapa dulu? Bagi diri sendiri ataupun bagi bank untuk bayar ansuran kereta, rumah, kad kredit, pinjaman peribadi ataupun bagi pada pasaraya, kedai runcit, butik pakaian; tadika, bas sekolah dan apa-apa lagilah yang perlu dibayar...

Masa Kitty bekerja dulupun, bila hendak masuk saja awal bulan mulalah buat kira-kira. Agih sana, agih sini. Tolak sana, tolak sini dan akhir sekali barulah tengok apa yang ada untuk diri sendiri. Patutlah bila bertahun-tahun bekerja, tak nampak pun duit simpanan berganda. Rupa-rupanya pengurusan kewangan tak berapa bijak. Justeru, simpanan pun tak berapa banyak!

Sengaja Kitty ingin berkongsi cerita... Kitty memang suka borak-borak dengan Encik-Encik Jaga (sekuriti guard) masa di tempat kerja lama. Sembang-sembang sebelum pergi makan ataupun ketika nak balik kerja. Tanyalah bagaimana mereka bekerja, berapa pendapatan mereka, bagaimana dengan kenaikan gaji... bla..bla..bla...dan banyak lagi..

Yang menarik perhatian Kitty apabila seorang Encik Jaga ini memberitahu, dia ada simpanan lebih RM100,000 dalam ASB! Wow! Banyak tu... Apalagi, Kitty pun koreklah rahsia...

"Setiap bulan saya mesti simpan duit gaji sekurang-kurangnya 20 peratus daripada gaji saya... Isteri saya pun sama...
"Dalam hal duit ni, kami memang sepakat... kami berbelanja macam orang lain juga tetapi keutamaan kami adalah menyimpan..." katanya.

Setiap bulan dia dan isteri akan menyimpan dan sekiranya dapat bonus, bonus itu juga akan disimpan. Setiap tahun bila ada kenaikan gaji, kenaikan gaji itu turut disimpan. Alasannya mudah. Jika sebelumnya mereka sekeluarga boleh hidup dengan perbelanjaan RM2500 sebulan, kenapa bila naik gaji mereka perlu meningkatkan perbelanjaan? Lebih baik duit lebihan itu disimpan..

Pada pandangan Kitty memang itulah yang sebaik-baiknya.. Sebelum bayar orang lain, patut bayar diri sendiri dulu sebagai ganjaran peribadi. Apabila melihat simpanan semakin bertambah setiap bulan, self-worth sendiri akan meningkat... Rasanya itu ganjaran terbaik untuk diri sendiri. Bukannya habis bulan habis gaji!...

Sekadar berkongsi tips kewangan yang Kitty pelajari...

1. Amalkan nisbah 60:40
2. Gunakan 60 % gaji untuk perbelanjaan bulanan (termasuk hutang kereta, kad kredit, rumah, perbelanjaan                harian, wang saku anak-anak, yuran tadika, tuisyen, bil-bila, petrol dsbnya..)
3. Gunakan 40 % daripada gaji sebagai simpanan:
    a. 10 % simpanan jangka panjang (akaun kedua untuk persaraan)
    b. 10 % simpanan jangka pendek (untuk kegunaan antara dua ke lima tahun contohnya untuk beli kereta, berkahwin ataupun membeli rumah)
    c. 10 % simpanan kecemasan (sekurang-kurangnya 3 bulan perbelanjaan bulanan atau lebih baik lagi jika ada tabungan untuk 6 ke 12 bulan)
    d. 10 % untuk hiburan, melancong, lain-lain perbelanjaan.

Jika nisbah 60:40 itu terlalu besar, mulakan dengan jumlah yang selesa dulu. Mungkin 10%... Lama-kelamaan, tingkatkan. Kitty sudah temui ramai yang menabung dan menyimpan. Masing-masing menyatakan, jika sebulan mereka tidak menyimpan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam hidup mereka...

Kitty amat bersetuju dengan kata-kata mereka... menabung boleh buat kita ketagih! Kalau tak percaya, cubalah...
Kalau Suka LIKE le..

Friday 1 June 2012

Wow! Isteri ke Empatnya MJ5!


Petang semalam Kitty jumpa En Man. Saja duduk borak-borak sambil ambil salinan IC dan cap jari. Tiba-tiba En Man bersuara:
"Sekarang ni kalau nak buat loan kereta, susah betul... adik-beradik saja yang boleh jadi guarantor... Suami pun tak boleh.."
"Ya ke?.."
"Haah... my third wife nak tukar kereta...."
"Third wife?..." Melopong Kitty mendengarnya.. En Man ada berapa isteri?"
"Empat.."
"Empat? Biar betul En Man?... Seorang pun kadang-kadang tak boleh nak handle, ini pula empat... hebat tu!...
En Man hanya tersengih.
"Jadi, selama ni... saya datang jumpa En Man, memang En Man dah ada empat isterilah?...
Dia menganggukkan kepala. Sengihnya tak hilang lagi. "Dah cukup kuota..."
"Tak gaduh ke?"
"Tak. Masing-masing dah tahu.."
"Macam mana first wife En Man? Dia tak melenting ke?"
"Dia tak tahu. Setiap hari I balik rumah..."
"So, kalau balik rumah hari-hari, bagaimana isteri-isteri yang lain?"
"Pandai-pandailah...."

Kitty teringat En Man selalu cerita yang hobinya, memancing, main golf dan adakalanya buat bengkel atau seminar.... Ooo... itu dia alasannya... En Man bagi tahu semua isterinya dinikahi di sini bukannya di sempadan ataupun di seberang..

"Tak perlu dapat kebenaran isteri pertama ke?..."
"Tak. Buat saja permohonan di mahkamah.. tengok layak atau tak layak.. boleh aje kahwin..."

Mudahnya berkahwin lagi...

Untuk mengahwini isteri kedua, anak dara yang berbelas-belas tahun lebih muda darinya En Man hadapi sedikit kesukaran kerana ditentang keluarga isteri. Isteri ketiganya, anak dara tua manakala isteri keempat En Man sebut sebagai MJ5 (Mak Janda Anak Lima...)

Dua tahun En Man ambil masa untuk cukupkan kuota!

Cuma Kitty rasa kasihan pada isteri pertama... dalam senyap-senyap dia dimadukan. Bagaimanalah perasaannya bila dia dapat tahu?..

p/s: Kitty tak boleh nak komen banyak-banyak bab bermadu ni... Memang manis bagi lelaki tetapi banyak yang jadi racun bagi wanita... So, apa komen anda?...


Kalau Suka LIKE le..

Menarik di PING BUSUK

Free blog ping